cerita.

Cinta di Howth

Kemaskini: 17 Nov 2019

Thank you young man.”


Ucapan itu disusuli dengan senyum miring. Saya angguk dan balas senyum.


Teropong lelaki lebih separuh abad yang kelihatan di tangannya dalam gambar itu jatuh.


Saya tolong ambilkan. Mujur lensa teropong tak mengena batu-batu kecil yang menguasai kebanyakan denai di Howth.


Howth, bandar nelayan di utara Teluk Dublin. Tidak jauh dari kediaman saya. Kalau naik tren DART, dalam 45 minit sudah sampai. Andai mahu tahu lebih lanjut, sila tanya Pakcik Google.

Saya cuma boleh kongsi tentang Bangunan Olimpik yang pernah disinggahi rombongan obor London 2012 dahulu dan kedai aiskrim Mauds yang menakjubkan.


Aiskrim forest fruits yang sukar dilupakan dan gadis aiskrim nan manis yang membantu saya mencari kedai menjual kad memori untuk kamera. Katanya ada di farmasi.


Kad memori kamera dijual di farmasi?


Nyata maklumannya benar. Terima kasih, Faye.


Tepatlah keputusan saya selepas berkali-kali menggenyeh mata di depan skrin komputer riba untuk mengisi beg galas dengan Doritos, sebotol air mineral, dan kamera – kemudian menuju ke stesen DART untuk ke Howth.


Seorang diri saja. Teman-teman yang lain semuanya bercanda di Itali. Saya saja yang berdegil mahu menghabiskan cuti musim panas di Dublin. Sekurang-kurangnya, separuh masa pertama.


Separuh masa kedua, kita tunggu.


Kembali kepada pakcik teropong. Saya tidak sempat berbual lama dengannya. Bimbang mengganggu temujanji romantis dengan isterinya.


Lama juga mereka bergaduh mesra.


Si isteri mahu menuruni cerun, walau sedikit. Si suami enggan, katanya dengan teropong pun sudah boleh dilihat semuanya dari tebing tinggi.


Ya, itulah tabiat saya saat berada di tempat awam. Gemar benar mencuri dengar.


Akhirnya mereka berdua menuruni juga cerun yang ada. Yang kurang curam dan bertangga. Sambil berjalan menuju ke pantai, saya sempat mendengar gelak ketawa mereka.


Betapa cinta itu selama-lama.


Nota kaki: Entri ini pernah dikongsi sebagai status Facebook saya pada 17 Jun 2014

Siaran Terkini

Lihat Semua

Terima kasih Zaleha

Dua hari lalu, isteri saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami komplikasi kecil berkaitan kandungan. Dia mendaftar masuk di wad sementara berhampiran dewan bersalin lewat malam Isnin

Gadis nasi lemak dan lagu

Sambil menunggu pemeriksaan rutin kandungan isteri di klinik selesai, saya keluar mendapatkan sarapan. Saya ke sebuah gerai sarapan yang pernah disinggahi sebelum ini. Kali ini gerai tidak terlalu ses

© 2020 nizambakeri.com