cerita.

Beratur

Kemaskini: 28 Dis 2019

Mengajiku cukup Ajarku yang kurang Who Do It Better – Joe Flizzow ft Sona One & Altimet


Selain Malique dan Tukang Kata, Altimet juga salah seorang rapper tempatan kegemaran saya.


Kemahiran lirikal beliau terserlah dalam dua baris di atas, misalnya. Secara tersirat, bagi saya, Altimet cuba menggambarkan keadaan manusia yang sekalipun berilmu, belum tentu beradab.


Perhatikan dia memilih frasa ‘ajarku yang kurang’ berbanding ‘kurang ajar’ untuk menggambarkan perkara yang sama.


Tapi, bukan itu yang cerita yang saya ingin kongsi.


Saya masih terkenang peristiwa kecil di pusat beli-belah pagi tadi.


Ketika beratur di kaunter untuk melunaskan bayaran, saya berdiri di belakang dua orang wanita separuh usia yang asyik bergebang.


Salah seorang daripada sudah bersiap siaga untuk membayar dengan kepingan wang kertas dipegang erat. Seorang lagi turut bersedia dengan tangan yang menyeluk beg tangan.


Yang membuat darah saya semerta mendidih, saat sebelum membayar, mereka sempat menghulur tangan memilih pakaian di rak yang diletakkan berhampiran dengan kaunter bayaran sambil kekal beratur.


Terpaksa saya berundur demi memberi laluan kepada gebang mereka yang semakin riuh, menjulang blaus demi blaus yang masih dipilih walau giliran membayar sudah tiba.


Jadi kamu mahu bayar atau masih belum puas memilih barangan?


Peristiwa ini sudah berkali-kali saya hadapi. Ada juga warga emas yang sering saja tanpa segan silu menghulur senyum buat kita yang sudah lama beratur panjang dan penuh tenang berkata:


“Bagi makcik dulu ya. Tak larat nak beratur dik.”


Andai memang benar sudah dilanda uzur, saya tidak keberatan. Tetapi sebaik sahaja dipotong barisan, wah, meriah pula dia bergebang dengan rakan yang ditarik sama menyertai konspirasi kecilnya.


Barangkali ada yang tidak setuju tetapi bagi saya, common sense terpakai buat semua. Menjadi warga emas semata-mata bukan alasan untuk sesiapa mengabaikan adab dan susila.


Kembali kepada dua wanita tadi. Sebaik sahaja ribut pemilihan reda, mereka mula membayar. Seorang tunai, seorang lagi dengan kad kredit OCBC Bank rona emas.

Nyatalah adab itu terlalu mahal. Tidak terbayar seluruh harta.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Terima kasih Zaleha

Dua hari lalu, isteri saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami komplikasi kecil berkaitan kandungan. Dia mendaftar masuk di wad sementara berhampiran dewan bersalin lewat malam Isnin

Gadis nasi lemak dan lagu

Sambil menunggu pemeriksaan rutin kandungan isteri di klinik selesai, saya keluar mendapatkan sarapan. Saya ke sebuah gerai sarapan yang pernah disinggahi sebelum ini. Kali ini gerai tidak terlalu ses

© 2020 nizambakeri.com