cerita.

Ada Apa Dengan Latihan?


Molek juga kalau saya berkongsi dengan para pendebat tentang apakah sebenarnya yang boleh dimanfaatkan dalam sesi latihan? Apakah tabiat yang sering diamalkan oleh para pendebat terdahulu yang telah menjadikan mereka pendebat yang lebih baik dari masa ke masa?

1. Wayar dalam otak




Saya pasti, para pendebat pasti terpesona melihat betapa mudahnya pendebat-pendebat lama mempersembahkan gaya sendiri ketika beraksi di pentas. Effortless. Seolah-olah mereka memang dilahirkan sedemikian rupa.



Tidak sama sekali. 



Mereka menjadikan debat seolah-olah rutin harian kerana mereka tidak pernah gagal untuk menghadiri latihan. Seni pengucapan awam bukannya bakal istimewa yang diperoleh satu dalam sejuta. Debaters are not savants or naturally gifted, except for a few.



Frasa-frasa indah yang terbit lancar dari mulut mereka merupakan hasil ujikaji berpuluh-puluh, malah barangkali beratus-ratus frasa yang diulang cuba dalam sesi latihan.

Jangan malu untuk mencuba dalam sesi latihan. Yang salah ditegur. Yang indah disubur.



Ya, memang benar. Kehebatan mereka bukan keajaiban dan usahlah anda bermimpi untuk menjadi sehebat mereka andai hanya bergoyang kaki dan menunggu masa untuk dipilih masuk ke dalam pasukan. 



Kehebatan mereka sudah dibentuk menjadi sebahagian daripada wayar dalam otak – dek kerana latihan yang tak putus-putus.



Debate is hard work. Period.



2. Biar kecil asal tercapai



Satu lagi aspek dalam latihan yang sering menyebabkan ramai pendebat putus asa, mengaku kalah, dan tunduk pada kepenatan ialah kerana mereka mempunyai matlamat yang terlalu jauh.



Atau lebih malang jika tidak ada arah tuju langsung.



Tidak ada pendebat muda yang tiba-tiba boleh bertukar sehebat Encik Daud Mat Din atau Encik Nizamuddin Hamid dalam masa sehari. Tidak ada. Tidak akan ada.



Tetapkan matlamat yang KHUSUS dan mampu dicapai dalam tempoh masa latihan yang tertentu. Misalnya, untuk latihan hujung minggu ini, saya ingin mengurangkan sebutan ‘erm’ ketika berdebat.



Atau, saya ingin memenuhi masa tujuh minit. Saya ingin berdiri tegak dan meningkatkan projektil suara. Saya ingin memastikan fakta yang telah digunakan tidak diulang. Saya ingin mengurangkan sebutan berbaur dialek.



Biar khusus dan usaha kita akan ditumpukan sepenuhnya untuk matlamat tersebut. Barulah pendebat akan keluar dari kepompong, menjadi ‘pendebat baru’ setiap kali tamat sesi latihan.



3. Pendapat bukan format



Ramai pendebat yang rimas dan keliru dengan komentar yang diberikan oleh jurulatih. Semalam, katanya saya perlu menggunakan tempo lebih laju. Hari ini suruh saya perlahan pula.



Minggu lepas katanya saya terlalu garang. Minggu ini suruh saya berkeras pula.



Jangan bimbang. Usah keliru. 



Komentar yang diberikan oleh jurulatih biasanya bersifat responsif dengan persembahan pendebat dan berkaitan juga dengan usul dan mood debat yang wujud ketika sesi latihan tersebut.



Maka, pendebat perlu memahami setiap komen dalam bentuk konteks dan bukannya menyalin setiap butir komen lantas dijadikan senarai peraturan debat. Jangan buat begitu.



Perubahan dan proses tambah baik dalam debat sememangnya subjektif dan kompleks. Sebab itu yang culas datang latihan, akan mendapati diri mereka terawang-awang dan terpisah dengan rakan seangkatan lain – lantaran proses pembentukan karakter debat itu telah terhenti seketika dan perlu dimulakan dari awal.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Terima kasih Zaleha

Dua hari lalu, isteri saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami komplikasi kecil berkaitan kandungan. Dia mendaftar masuk di wad sementara berhampiran dewan bersalin lewat malam Isnin

© 2020 nizambakeri.com