cerita.

Abadi: Bahagian 4

(Bahagian 1 | 2 | 3)

“Masuklah.” Samad senyum tawar.

Doktor Praveena kagum, hampir-hampir mulutnya terlopong. Segala-galanya teratur di apartmen ini. Segala-galanya.

Ruang tamu minimalis dengan dua sofa kulit hitam yang bertemu membentuk huruf L. Di tengah-tengah, meja kaca empat segi sama dengan kemasan logam di setiap sisi. 

Di bawahnya, permaidani merah garang. Rona dinding putih berbaur kuning cair, kosong. Tiada bingkai gambar walau satu. 

Rak buku agam menyeluruhi dinding. Majalah dan buku tersusun mengikut saiz dan tajuk, persis perpustakaan. 

Doktor Praveena terlopong.

“Kita makan dululah, Mad.” Laung Samsul dari dapur.

Aroma ayam goreng memenuhi apartmen Samad. Makanan segera, itu sajalah yang Samsuri gemar sejak kecil. Samad senyum sendiri sambil melangkah ke dapur.

“Kenapa doktor datang?” Samad memang begitu. Tiada basa-basi.

“Dia nak melawat, Mad. Boleh, kan?”

“Aku bukannya sakit.”

“Samad, saya nak bincang tentang Hilda. Saya nak tolong awak.” Doktor Praveena tidak mahu dua beradik ini mula bertikam lidah.

Samad angguk. Kepak ayam hampir habis dijamah.

“Samsul told me that you have been in this place for quite some time. Betul, kan?”

“Apa kaitannya dengan Hilda?”

“Awak sekarang mengalami agorafo—“

“Agorafobia. Saya tahu, doktor. Saya bukannya bodoh. I’m agoraphobic. I’m a paranoid. I’m having OCD. The car crash turned me into this. Do you think I don’t know that?” Suara Samad makin tinggi.

“Mad, dengar sini. Aku dan Praveena mahu kau jumpa Hilda. Mungkin dia dapat ingat sesuatu bila berbual dengan kau. Jangan risau tentang Mak Su Nah. Praveena kata dia boleh tolong.”

Praveena. Dulu Samsul panggil dia Doktor Praveena. Sudah beberapa kali bertemu, barangkali berputik sesuatu. Marah Samad sedikit reda.

“Aku belum sedia.”

“Habis, kau tak nak jumpa Hilda?”

“Aku belum sedia.”

“Beginilah. Saya tahu apa yang berlaku antara awak dan keluarga Hilda. Dan saya faham keadaan awak sekarang. Saya tak mahu paksa sesiapa. Masih ada cara lain untuk pulihkan ingatan Hilda.”

“Apa dia?” Samad dan Samsul bertanya serentak.

Bersambung.

© 2020 nizambakeri.com