cerita.

Abadi: Bahagian 2


(Bahagian 1)

“Boleh saya tolong encik?” Gadis genit di kaunter tersenyum. Kebaya moden merah hati membalut tubuh penambah seri. 



“Saya ada temujanji dengan Dr Praveena.” Samsul membalas senyum. 



“Tunggu sekejap, ya. Encik duduklah dulu.” Gadis kebaya merah mengangkat gagang telefon dan berbual pendek. Samsul renung dari sofa di ruang legar. Manis.



Dr Praveena muncul entah dari mana. 



“Encik Samsul?”



“Ya, saya.” Samsul bingkas dan bersalaman.



“Kita bincang di sini saja, boleh? Air-cond bilik saya rosak. Belum repair.” 


Samsul angguk. Tanpa tangguh, Samsul hulur soalan satu persatu. Bolehkah doktor tolong saya? Ada atau tidak penghuni bernama Hilda? Nur Hilda Shaari? Bolehkah saya bertemu dengannya?



“Saya tidak boleh beritahu maklumat penghuni di sini, melainkan encik Samsul ah—“



“Samsul saja. Tak payah berencik-encik.” 



“OK. Samsul. Melainkan Samsul ahli keluarganya.” Dr Praveena masih teguh dengan prinsip utama di Pusat Kesihatan Mental Damai. Ketanpanamaan.



“Saya ahli keluarganya. Hari tu saya sudah beritahu, tapi staf doktor tak mahu percaya.”



“Maaflah. Saya memang selalu ingatkan mereka supaya tegas dengan perkara ni. Samsul ada apa-apa dokumen sebagai bukti?”



“Ada. Ini dia.” Sekeping kertas kecil yang terlipat berpindah tangan. Dr Praveena buka perlahan-lahan. Mulutnya terkumat-kamit.



“Samad? I thought your name is Samsul?”



Samsul ketawa kecil. Kali ini, Dr Praveena pasti akan memberi izin.



“Samad tu abang saya. Hilda, ipar saya.”



“Now, it’s a different story.” Dr Praveena senyum. 



Bersambung.


© 2020 nizambakeri.com